Rabu, 23 Disember 2009

BINGKISAN DARI AL-AZHAR MESIR

BINGKISAN DARI AL-AZHAR MESIR

Gadisku,
Sesungguhnya kehadiranmu terlalu unik, tercipta dari tulang rusuk Adam yang bengkok, menghiasi taman-taman indah lantas menjadi perhatian sang kumbang. Kau umpama sekuntum mawar, dari kejauhan sudah terhidu keharumannya dan terlihat kilau warnanya yang indah mengundang rindu sang kumbang… tapi duri yang melingkarimu bisa membuatkan sang kumbang berfikir beberapa kali untuk mendekati…

Gadisku,
Aku suka sekiranya engkau seperti mawar aspirasi setiap mujahid. Bentenglah dirimu dengan perasaan malu yang bertunjangkan keimanan dan keindahan taqwa kepada Allah. Hiasilah wajahmu dengan titisan wudhu’… ingatlah bahawa ciri-ciri seorang wanita solehah ialah ia tidak melihat kepada lelaki dan lelaki tidak melihat kepadanya. Sesuatu yang tertutup itu lebih berharga jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah…umpama sebutir permata di dalam sebuah bekas.. sudah pasti keinginan untuk melihat permata yang tersembunyi itu melebihi keinginan untuk melihat permata yang sudah terdedah. Wanita solehah yang taat dan patuh pada Al Khaliq dalam melayari liku-liku kehidupannya adalah harapan setiap insan bernama Adam. Namun ianya memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit kerana ianya bercanggah dengan nafsu dan godaan syaitan…dalam dirimu.. lebih-lebih lagi kerana kau seorang gadis… pastinya darah mudamu mencabar rasa keimanan yang ada. Namun ingatlah gadisku, sesiapa yang inginkan kebaikan maka Allah akan memudahkan baginya jalan-jalan ke arah itu. Yang penting, gadisku, engkau mempunyai azam, usaha dan istiqamah…

Gadisku,
Akuilah hakikat dirimu menjadi fitnah kepada kebanyakan lelaki. Seandainya pakaian malumu kau tanggalkan maka sudah tidak ada apa lagi yang dapat membentengi dirimu. Sesungguhnya Nabi ada mengatakan tentang bahaya dirimu, “ Tidak ada suatu fitnah yang lebih besar, yang lebih bermaharajalela selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain fitnah yang berpunca dari wanita…” Oleh itu gadisku, setiap langkah dan tindakanmu hendaklah berpaksikan kepada Al-Quran dan As-Sunnah, jangan biarkan orang lain mengeksploitasikan dirimu untuk kepentingan tertentu. Sesungguhnya Allah telah mengangkat martabatmu sebaris dengan kaum Adam. Kau harapan ummah dalam melahirkan para mujahid dan mujahidah yang bisa menggoncangkan dunia dengan sentuhan lembut tanganmu…

Gadisku,
Dalam hidupmu pastinya engkau ingin disayangi dan menyayangi.. itulah fitrah semulajadi setiap insan, dan lantaran itulah juga ramai di antara kamu, dan juga di antaraku, yang tewas kerana cinta. Bercinta itu tidak salah tetapi memuja cinta itu yang salah. Kerana cinta manusia sanggup menjual agama, kerana cinta maruah sanggup digadaikan. Gejala murtad dan keruntuhan moral muda-mudi sebahagian besarnya adalah kerana sebuah cinta… benarlah sabda Rasulullah S.A.W .” Sesungguhnya cinta itu membutakan. “ Cinta mampu membutakan mata dan hatimu dalam membezakan perkara yang hak dan yang batil apabila kau meletakkan cinta itu atas dasar nafsu, dan tidak kerana Allah SWT. Sebelum kau mendekati cinta, cintailah dirimu terlebih dahulu, kajilah hakikat kejadianmu yang begitu simbolik… berasal dari setitis air yang tidak berharga lalu mengalami proses yang direncanakanNya.. semoga kau mampu melahirkan rasa keagungan dan kehebatan Nya hingga timbul rasa cinta dan kasih terhadap Penciptamu…

Gadisku,
Tidak Mencintai Allah dan rasul melebihi cinta terhadap makhluk nescaya akan bertambah retak lantas berkecai…. Tetapi apabila hatimu kau serah keada Allah pastinya ia akan bertaut kembali. Dalam seusiamu ini sibukkanlah dirimu dengan ilmu yang mampu mempertajamkan akal dan mampu membina sahsiah muslimahmu. Sesungguhnya ilmu itu cahaya dan ilmu tidak mampu bertapak dalam hati orang yang melakukan maksiat. Buat akhirnya, terimalah kata-kata seorang ahli sufi, Rabiatul Adawiyah sebagai renungan bersama; “Cintakan manusia itu tidak mewujudkan kebahagiaan yang abadi untuk seseorang insan kerana ia tidak akan kekal…cintakan manusia seringkali membuatkan seseorang itu gagal, kecewa, menderita dan tersiksa. Oleh itu tidak ada suatu cinta pun yang dapat membuahkan kebahagiaan dan kenikmatan yang kekal abadi melainkan cinta kepada Pencipta manusia itu sendiri…”

Sekian, … wassalam

Nukilan tinta,

al-Azhar Mesir.....


Terima kasih sahabatku... Ku doakan dikau bahagia di samping suami tercinta